Saturday 11 June 2011

Menilai Kedamaian

credit to utusan malaysia:

KISAH pergolakan di Mesir sentiasa 'hidup'. Detik tengah malam Jumaat minggu lepas adalah pengakhiran revolusi rakyat selama 18 hari dengan berita peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak dan tentera diberi mandat mentadbir.

Bagaimanapun banyak pihak termasuk Presiden Barack Obama menyifatkan ia baru peringkat permulaan penyelesaian krisis.

Di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap proses perubahan politik Mesir selepas ini akan berjalan lancar.

Malaysia amat dekat dengan negara itu, ditambah dengan misi Ops Piramid membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar negara dari sana baru selesai dan berjaya.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang kembali dari Mesir pada 9 Februari lalu mahu membawa rakyat negara ini 'menjenguk' pergolakan itu dalam menilai makna sebuah kedamaian. Ikuti pengalaman beliau yang dicoretkan oleh penulis.

Kisah 1

Saudagar Arab sanjung askar Malaysia

KETIKA terserempak dengan sekumpulan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru selesai menunaikan umrah, seorang saudagar jam dan barang antik dari Arab Saudi tidak mampu menyembunyikan keterujaannya.

"Saya cukup kagum dengan usaha kerajaan anda, hantar askar selamatkan pelajar dan rakyat anda, saya kira kerajaan negara saya tidak akan berbuat demikian.

"Anda semua pun ada macam-macam bangsa, saya harap negara saya akan meniru kerajaan anda," kata Sheikh Abdull Laban yang kebetulan bertembung dengan sekumpulan anggota ATM di Grand Saga, Jeddah pada minggu lalu.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Azeez berkata: 'Kalau rakyat Saudi boleh menghargai usaha kerajaan Malaysia, apa salahnya rakyat kita...maksud saya segelintir yang mempolitikkan misi ini, tunjukkan penghargaan ini."

Sheikh Abdull Laban begitu teruja melihat semangat kerjasama dan saling membantu yang dilihatnya dalam pasukan ATM.

"Ada Melayu, India dan orang Sabah dan Sarawak yang iras macam kaum Cina. Beliau kagum kerana belum pernah bertemu masyarakat majmuk seperti itu dalam sebuah angkatan bersenjata, apatah lagi berganding bahu dalam Ops Piramid.

Seramai 140 anggota ATM termasuk sembilan wanita yang baru menyelesaikan Ops Piramid berkesempatan menunaikan umrah di Mekah atas inisiatif dan penghargaan Tabung Haji dengan kerjasama Kelab Putera 1Malaysia.

Kisah 2

'Kalau tidak boleh puji, jangan keji'

KETIKA baru memuncak tunjuk perasaan untuk memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan, ada laporan menyebut pesawat sebuah negara tetangga dengan pantas mengirimkan pesawat ke sana untuk membawa rakyat mereka keluar.

Sebaik-baik sahaja laporan dan berita bergambar disiarkan agensi asing mengenainya, bermulalah episod 'serangan' daripada bloggers dan portal propembangkang di Malaysia mempersoalkan proses lewat buat keputusan oleh kerajaan.

Namun semasa Abdul Azeez hendak berangkat meninggalkan Kaherah dengan '120 kerusi kosong' dalam pesawat Rabu lepas, beliau menyaksikan beberapa pesawat Garuda serta dari Thailand baru mendarat di landasan.

"Masih ada lagi rakyat asing yang perlu diangkut keluar meskipun mereka tidak seramai rakyat kita.

"Kepada sesiapa yang mempersoalkan usaha murni kerajaan Malaysia ini, saya berharap mereka dapat merenung kata-kata hikmah seorang ulama sufi dan ahli tasawuf, Yahya Muaz iaitu 'kalau tidak boleh bagi manfaat, jangan beri mudarat.

"Kalau tidak boleh puji, jangan keji, kalau tidak boleh gembirakan, jangan bagi sedih," ujar Abdul Azeez.

Kisah 3

'Tunai hajat' dalam lima botol

KETUA Unit Media Kelab Putera 1Malaysia, Mohd. Khairul Rizzuan Abu Hasan, 26, masih tidak dapat melupakan saat-saat getir diacukan senapang jenis AK47 semasa melalui banyak sekatan jalan raya di Mesir.

Kejadian berlaku pada 6 Februari lalu kira-kira pukul 2.45 pagi waktu tempatan.

"Barang-barang di dalam beg diselongkar dan dibuang dari bas yang kami naiki, kamera serta 10 walkie talkie milik Kelab Putera juga dirampas semasa dalam perjalanan menghantar bekalan makanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Dewan Malaysia Abassiah.

"Saya juga ditahan selama dua jam di tepi jalan dalam keadaan kesejukan yang teramat sangat tanpa diberi baju sejuk setelah semuanya dirampas. Ketika itu suhu mencecah 10 darjah selsius. Setelah pasport diperiksa, barulah pihak tentera melepaskan saya serta rombongan yang lain pada jam 5.30 pagi," ujar Mohd. Khairul Rizzuan atau mesra dengan panggilan Wan.

Dia dan anggota pergerakan itu juga berdepan dengan kerenah mencurigakan daripada pemandu teksi sehinggakan ada yang menuntut tambang 3,500 pound Mesir berbanding kadar 500 pound ketika itu.

Dan sesuatu yang turut sukar dilupakan oleh Mohd. Khairul Rizzuan adalah apabila dia terpaksa membuang air kecil dengan menggunakan lima buah botol. Ini berlaku kerana dalam setiap sekatan yang dilaluinya dan anggota pergerakan itu, mereka diarahkan mencangkung dan tidak dibenarkan bergerak ke tempat lain. Tiada kemudahan tandas di situ.

Kisah 4

Berpaling muka ambil 'boarding pass'

ABDUL Azeez mudah bergerak bebas ke sana sini dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah termasuk tepi landasan.

Dengan pas keselamatan yang diperolehnya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kerap turun naik kapal terbang seolah-olah dia pekerja lapangan terbang. Dan tugas beliau yang paling utama ialah menghulurkan pas berlepas kepada pelajar Malaysia untuk memasuki pesawat.

Dalam dua kes terpencil, beliau terpaksa berhadapan dengan segelintir pelajar yang dari raut muka seolah-olah tidak peduli atau menghargai langsung bantuan kerajaan untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Ramai pelajar bila ambil boarding pass, mereka tidak putus-putus bersalam dengan saya dan mengucapkan syukur dan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.

"Tapi ada segelintir tu langsung tidak mahu pandang, ucap terima kasih jauh sekali dan kemudian semacam merampas saja boarding pass berkenaan," kata beliau.

Abdul Azeez berharap pelajar terbabit dapat merenung apa yang ingin diperkatakan beliau ini.

"Saya harap musibah ini sebagai satu hikmah iaitu renung-renunglah siapa yang duduk di barisan hadapan apabila nyawa kita ibarat berada di hujung tanduk."

Kisah 5

3 pagi bercakap dengan Perdana Menteri

UMUM tahu komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak cukup tinggi dalam tindakan pelan evakuasi menyelamatkan pelajar Malaysia di Mesir.

Suatu pagi kira-kira pukul 3 ketika sibuk menghulurkan bantuan makanan kepada pelajar dan rakyat Malaysia yang duduk bersepah di lapangan terbang Kaherah, Abdul Azeez menerima panggilan daripada Perdana Menteri.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bertanyakan perkembangan terkini hampir setiap jam. Mesej Perdana Menteri ialah selamatkan dan bawa keluar rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik. Beliau turut mengirim setiausaha politiknya, Datuk Sahlan Ismail yang banyak bergerak di Kaherah dan Iskandariah.

Di lapangan terbang di Kaherah pula, hanya khemah-khemah tertera 1Malaysia kelihatan di kaki lima di situ. Bukan sahaja rakyat Malaysia berteduh tetapi turut disertai kelibat warganegara asing lain.

Bantuan dua pesawat Arab Saudi serta merta kepada Malaysia menunjukkan mereka menghormati dan menyanjung tinggi kepimpinan negara. Sehinggakan diplomat negara lain turut kagum. Kerajaan Malaysia sebenarnya melakar sejarah menggerakkan misi terbesar dan paling singkat era ini.

Kisah 6

'Kami muflis jika kamu tinggalkan Mesir'

PALING tidak dapat dilupakan Abdul Azeez ialah apabila melalui pintu-pintu imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Setiap kali membawa pelajar dan rakyat Malaysia melintasi para pegawai Imigresen Mesir, tergambar kesayuan yang teramat di wajah mereka.

Mereka merayu-rayu dan berulang kali menyebut "janganlah anda pergi, kalau pergi, habislah negara kami, habislah..." dengan berlinangan air mata meminta rombongan Abdul Azeez tidak meninggalkan Mesir.

Ini kerana jika berterusan migrasi besar-besaran warganegara asing, Mesir akan muflis, kata pegawai terbabit.

No comments:

Post a Comment